Kamis, 30 Januari 2014

Pemuda PAS diajak mencorak masa depan Malaysia

Harakahdaily

Nazri Abdullah, 14 Nov 2012

(Dewan Jubli Perak penuh sesak mendengar ucapan Nasrudin Hassan)

KOTA BHARU: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan mahu seluruh ahli dewan itu menjadi agen pencorak masa hadapan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sejahtera dan diredhai oleh Allah swt.

Berucap menyampaikan ucaptama di Muktamar Tahunan Kali Ke-53 dewan itu malam ini beliau berkata, pemuda PAS harus meneruskan tugas memimpin kebangkitan anak muda khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. (Gambar kiri)

Lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati dilihat hadir pada malam ini. Antara pimpinan pusat yang hadir termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku perasmi, Naib-naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Turut hadir Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said serta wakil pemuda Pakatan Rakyat dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pemuda DAP.

"Muktamar tahun ini berlangsung tatkala kita berada di ambang Pilihanraya Umum ke-13. Seluruh Pemuda PAS perlu menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 ini sebagai Jihad dan Ibadah untuk menggalas amanah dan tugas dengan penuh istiqamah dan iltizam, demi mendapatkan keredhaan Allah swt.

"Maka di atas tuntutan ini, tibalah masanya kita memperkukuhkan komitmen memimpin kebangkitan anak muda dengan membawa gagasan mencorak masa depan sebagai tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-53, bertepatan dengan agenda Membangun Negara Berkebajikan sebagai asas pembentukan sebuah negara yang lebih sejahtera dan diredhai oleh Allah swt," katanya.

Menurut Nasrudin lagi, komitmen untuk mencorak masa depan masyarakat dan negara ke arah lebih baik bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap anggota pemuda.

Sebab itu katanya, dalam mencapai matlamat itu dewan pemuda pada sesi ini telah membuat penilaian terhadap aktiviti mereka berdasarkan halatuju yang ditetapkan sebelum ini khususnya dalam mendekati anak muda.
 Harakahdaily

Tidak ada komentar:

Posting Komentar